
KOTA KINABALU, SABAH – Pembukaan pejabat baharu TEKUN Nasional dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) Cawangan Sabah dapat memacu pembangunan keusahawanan di Sabah.
Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kedua-dua pejabat tersebut terletak di lokasi strategik bangunan perniagaan iaitu di Aeropod Commercial Square.
“Lokasi pejabat baharu ini strategik kerana turut menempatkan agensi-agensi kerajaan, syarikat korporat dan jenama makanan dan minuman (F&B) terkemuka.
“Saya berharap dengan pembukaan pejabat agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan baharu dan membangunkan usahawan-usahawan sedia ada di negeri ini.
“Ketika ini TEKUN telah membantu sekitar 64,000 usahawan di Sabah dan PERNAS memberikan pembiayaan kepada 69 usahawan francais di negeri ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Pejabat Tekun Nasional dan PERNAS yang baharu di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ewon turut berharap penaiktarafan pejabat TEKUN Negeri Sabah dan Pejabat TEKUN Cawangan Kota Kinabalu akan memudahkan semua usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi.
“Begitu juga dengan pejabat baharu PERNAS yang bertujuan memberi nafas baharu kepada suasana dan persekitaran Pejabat PERNAS dengan mengetengahkan konsep jenama PERNAS selaku Peneraju Francais Malaysia.
“Dengan penempatan lokasi baharu ini dapat memudahcara usahawan-usahawan di negeri ini untuk berhubung dengan pegawai-pegawai PERNAS dan TEKUN Nasional sekali gus menggalakkan lebih ramai orang untuk meneroka bidang perniagaan francais,” ujarnya.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi PERNAS, Datuk Hazimah Zainuddin, Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd Ghani dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah. — JABATAN PENERANGAN SABAH