TUARAN: Kojasa Mart bakal membuka sebuah lagi cawangan baharu di Alam Persona, Ketiau, Putatan bulan depan, sekali gus dijangka mewujudkan 35 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Pengerusi Kojasa Holdings Bhd, Datuk George Teo berkata, pembukaan cawangan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memperluas rangkaian perniagaan runcitnya di Sabah, selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Beliau berkata, cawangan baharu itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 15,000 pelanggan, khususnya penduduk Perumahan Alam Persona, PPRT Taman Sri Keramat dan kawasan sekitarnya.
“Pembukaan cawangan baharu ini dijangka menyediakan 35 peluang pekerjaan, selain memberi kemudahan kepada kira-kira 15,000 pelanggan di kawasan perumahan berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena majlis penyampaian hadiah cabutan bertuah Kojasa Mart cawangan Tuaran yang disempurnakannya bersempena pembukaan cawangan baharu itu serta sambutan ulang tahun ke-48 Kojasa, baru-baru ini.
George berkata, Kojasa Mart yang merupakan anak syarikat Kojasa Holdings Bhd turut merancang membuka beberapa lagi cawangan dalam masa terdekat bagi memperluas perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurutnya, langkah pengembangan itu juga sejajar dengan hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi penekanan terhadap pewujudan peluang pekerjaan tempatan dan usaha mengurangkan kadar pengangguran.
Beliau berharap peluasan operasi Kojasa Mart dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, di samping menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.






