Tragedi Kereta Dihempap: Kontena Dipercayai Jatuh Ketika Diangkat Guna Kren di Bahu...

Tragedi Kereta Dihempap: Kontena Dipercayai Jatuh Ketika Diangkat Guna Kren di Bahu Jalan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah kontena yang sedang diangkat menggunakan kren di bahu Jalan Sepanggar dipercayai terjatuh lalu menghempap sebuah kereta Toyota Avanza, menyebabkan dua beranak maut dalam kejadian berhampiran Pelabuhan Sepanggar, petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahurudin Mat Husain berkata, kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu mengorbankan seorang lelaki berusia 53 tahun bersama anak perempuannya berusia 24 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori kontena sedang menjalankan kerja mengangkat kontena menggunakan kren di bahu jalan berkenaan.

“Kontena tersebut dipercayai terjatuh lalu menghempap kereta Toyota Avanza yang dinaiki kedua-dua mangsa ketika melalui kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Shahurudin berkata, kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba kira-kira jam 9.55 malam.

Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas pada jam 9.58 malam.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori berusia 49 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mendapatkan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.