Sabah Teroka Peluang Pelaburan, Perdagangan Baharu Menerusi Misi Ke China

Sabah Teroka Peluang Pelaburan, Perdagangan Baharu Menerusi Misi Ke China

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah bakal meneroka peluang baharu dalam sektor pelaburan, perdagangan dan kerjasama industri menerusi misi perdagangan serta lawatan industri ke Guangzhou, China, pada 11 hingga 14 November depan.

Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, misi itu akan disertai 100 ahli majlis dan ahli MCCC Sabah, selain wakil kerajaan, pemimpin perniagaan serta pengamal media.

Menurutnya, lawatan berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-China, khususnya dengan membuka ruang kerjasama antara komuniti perniagaan Sabah dan pemain industri di negara itu.

“Lawatan ini bukan sekadar kunjungan industri, tetapi satu inisiatif penting yang menghimpunkan kerajaan Sabah dan komuniti perniagaan untuk meneroka peluang serta memperkukuh hubungan kerjasama.

“Kami berharap setiap peserta dapat memanfaatkan jaringan, pengetahuan dan peluang perniagaan yang diperoleh sebagai pemangkin kepada kerjasama serta pembangunan perniagaan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai kunjungan hormat delegasi MCCC Sabah kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bagi memaklumkan persiapan program berkenaan.

Dexter berkata, misi itu akan memberi tumpuan kepada sektor pertanian, perdagangan dan industri berkaitan, termasuk sesi pertemuan bersama wakil kerajaan China, eksekutif syarikat serta dewan perniagaan bagi mengenal pasti potensi perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri.

Katanya, penyertaan pegawai kanan kementerian serta agensi berkaitan turut dijangka memperkukuh pertukaran pengalaman dan penerokaan kerjasama dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.

Antara yang dijadual menyertai delegasi ialah Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Ts. Hj. Jifrin Hj. Mohamad; Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson Ronald Jaimi; Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Lawrence Kissol Jr; Pengurus Besar Ko-Nelayan, Datuk Haji Yusof Ag. Besar dan Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar.

Selain lawatan industri dan sesi pemadanan perniagaan, delegasi turut dijadual mengunjungi Universiti Sun Yat-sen, dengan Jamawi bakal menyampaikan syarahan kepada pelajar universiti berkenaan.

Peserta juga akan mengikuti kursus kecerdasan buatan (AI) yang dikendalikan profesor universiti itu bagi meningkatkan pengetahuan mengenai perkembangan teknologi dan industri.

Dexter berkata, MCCC Sabah akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara komuniti perniagaan dengan pihak berkepentingan bagi membantu syarikat tempatan membina jaringan serta meneroka peluang kerjasama antarabangsa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jamawi atas sokongan dan penyelarasan penyertaan pegawai kerajaan dalam menjayakan misi berkenaan.