KUALA LUMPUR: UMNO menggesa Kementerian Kewangan (MoF) menarik balik arahan pembatalan projek pembangunan di Sabah dan Sarawak, khususnya yang melibatkan kemudahan asas penduduk luar bandar.
Memetik laporan MalaysiaGazette, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gesaan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap kesan pembatalan atau penangguhan projek berkenaan kepada rakyat kedua-dua negeri.
Menurutnya, perkara itu dibincangkan secara panjang lebar dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.
“Kita menggesa MoF agar mengambil cakna dan peduli yang serius, dapat meneruskan dan menarik balik arahan perbendaharaan untuk membatalkan projek-projek, terutamanya di Sabah dan Sarawak yang banyak terkesan,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn.
Asyraf berkata, wakil UMNO Sabah turut menyuarakan keresahan rakyat berhubung isu berkenaan.
Antara projek yang terjejas termasuk pembinaan jalan luar bandar serta kemudahan bekalan air dan elektrik yang penting bagi memenuhi keperluan asas penduduk.
Katanya, isu itu antara perkara utama yang diberikan perhatian dalam mesyuarat MKT UMNO selain persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.






