KOTA KINABALU: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) mempersoalkan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menurutnya menganggap semakan hasil Sabah hanya terpakai mulai 2022 dan seterusnya, tanpa mengambil kira tempoh 48 tahun dari 1974 hingga 2021.
Peguam SLS, David Fung Yin Kee berkata, perkara itu menjadi pertikaian utama dalam prosiding mahkamah hari ini apabila Kerajaan Persekutuan, menurut tafsirannya terhadap Perlembagaan, mengambil pendirian bahawa peruntukan berkaitan semakan hasil tidak terpakai bagi tempoh terdahulu.
“Perbezaan utamanya ialah Kerajaan Persekutuan berpandangan bahawa semakan yang sedang dilaksanakan sekarang hanya melibatkan tahun 2022 dan seterusnya.
“Bagaimanapun, bagi tempoh 1974 hingga 2021, walaupun tiada pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan syarat-syaratnya kekal sama, melalui tafsiran mereka, Sabah dianggap telah kehilangan 48 tahun hasil yang sepatutnya dikongsi dengan negeri ini.
“Mereka mengatakan semakan bagi tempoh tersebut tidak perlu dilakukan kerana peruntukan berkenaan tidak terpakai,” katanya kepada media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
David menegaskan, SLS tetap berpegang pada pendirian bahawa hasil bagi tempoh yang dikenali sebagai lost years atau tahun-tahun yang hilang itu sebenarnya tidak lenyap, meskipun tempoh berkenaan telah berlalu.
Katanya, dalam semakan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, hasil yang diperoleh daripada Sabah dan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan sepanjang tempoh tersebut tidak boleh diketepikan.
“Tahun-tahun itu sudah berlalu, tetapi dalam semakan yang sedang dilakukan oleh kedua-dua kerajaan, mereka tidak boleh mengetepikan tempoh berkenaan.
“Mereka mesti mengambil kira hasil yang diperoleh daripada Negeri Sabah dan telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.
“Apa yang Sabah mahukan ialah bahagian daripada hasil tersebut seperti yang dijanjikan di bawah Perlembagaan. Jumlahnya mungkin 40 peratus atau apa-apa jumlah lain yang dipersetujui melalui proses semakan,” katanya.
Mahkamah Rayuan hari ini telah menetapkan 12 November untuk pengurusan kes secara e-Review bagi menentukan tarikh keputusan rayuan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan tersebut.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan semua pihak yang terlibat.
Panel berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti hujahan semua pihak sebelum membuat keputusan.
Kerajaan Persekutuan merayu terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, termasuk dapatan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar tanggungjawab mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi antara lain mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula bersama Kerajaan Sabah berhubung hak negeri itu terhadap 40 peratus hasil bagi tahun kewangan 1974 hingga 2021, yang dikenali sebagai tempoh “Lost Years”.
Kerajaan Persekutuan selaku perayu diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Nurhafizza Azizan, bersama Azza Azmi, Safiyyah Omar dan Nur Atirah Aiman Rahim.
SLS selaku responden pertama pula diwakili peguam David Fung Yin Kee, Jeyan T.M. Marimuttu, Janice Junie Lim, Liew Yung Enn dan Vanessa Maria Marimuttu.
Kerajaan Sabah selaku responden ketiga diwakili Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh, bersama Peguam Kanan Negeri Mohd Saifurrazee Mohamed @ Hussin dan Devina Teo serta Peguam Negeri Roland Alik.






