GEORGE TOWN: Polis memaklumkan telah menerima laporan pada 1 Jun lalu berhubung satu kejadian pergaduhan melibatkan dua individu di sebuah kedai makan dekat sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa kejadian pada jam 8.07 malam.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada jam 4 pagi, 31 Mei lalu.
“Pergaduhan melibatkan dua lelaki tempatan di sebuah kedai makan di sini.
“Setakat ini tiada tangkapan lagi dan kami masih menyiasat punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya lagi, pada jam 2 petang semalam (Isnin) tular satu rakaman klip video berdurasi 1 minit 51 saat yang dimuat naik di aplikasi X memaparkan insiden pergaduhan antara dua individu di sebuah kedai makan.
“Saya ingin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menularkan video berkenaan,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.






