KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu selama dua tahun sehingga 22 Jun 2025.
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu.
Razarudin, 60, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil mempunyai pengalaman bertugas di Sabah selama lebih lima tahun.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan, Ketua Polis Daerah Kudat dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.
Sementara itu, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ayob, 57, berasal dari Kota Setar, Kedah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) memperkenan pelantikan berkenaan.
“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.





