Pesta Kalimaran Perlu Jadi Pemangkin Ekonomi Komuniti Luar Bandar

Pesta Kalimaran Perlu Jadi Pemangkin Ekonomi Komuniti Luar Bandar

0
SHARE

TENOM: Pesta Kalimaran perlu terus diperkasakan sebagai platform merancakkan ekonomi komuniti luar bandar menerusi penglibatan lebih ramai usahawan tempatan, penggiat kraftangan dan pemain industri pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penganjuran pesta itu bukan sahaja penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat Murut, malah berpotensi membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pendapatan kepada penduduk setempat.

“Kita mahu penglibatan lebih ramai pengusaha kecil, usahawan tempatan, penggiat kraftangan, pengusaha makanan, pengusaha inap desa serta pemain industri pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, pada majlis perasmian Ilau Kalimaran (Pesta Kalimaran) di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, Sabtu lalu.

Hajiji berkata, penganjuran pesta berkenaan selari dengan usaha Kerajaan Negeri membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri di setiap daerah sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Katanya, Pesta Kalimaran mampu memperkukuh industri pelancongan budaya, selain memberi peluang kepada masyarakat setempat memasarkan produk tempatan dan meningkatkan ekonomi komuniti luar bandar.

Dalam pada itu, beliau menyeru generasi muda, khususnya masyarakat Murut, supaya tidak melupakan warisan budaya etnik masing-masing dan menjadikannya sebagai kekuatan serta peluang untuk diketengahkan ke peringkat lebih luas.

“Jangan anggap budaya tradisional sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. Sebaliknya, jadikan budaya sebagai satu kekuatan dan peluang. Gunakan teknologi digital dan media sosial untuk memperkenalkan budaya Murut kepada dunia.

“Dokumentasikan tarian, muzik, pakaian, makanan, bahasa, cerita rakyat dan adat resam kita. Kita mahu melihat generasi muda menjadi duta budaya Sabah,” katanya.

Beliau berkata, usaha mendokumentasikan warisan berkenaan penting bagi memastikan identiti masyarakat Murut terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.

Hajiji turut mengingatkan generasi muda supaya menjadikan perjuangan Datuk Seri Panglima Ontoros bin Endoi atau lebih dikenali sebagai Antanom sebagai inspirasi dalam membentuk jati diri, kepimpinan dan semangat cintakan tanah air.

Katanya, nilai perjuangan Antanom bukan sekadar keberanian, tetapi turut merangkumi maruah, harga diri, kesetiaan kepada tanah air dan kecintaan kepada masyarakat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan khazanah kebudayaan semua etnik di Sabah terus dipelihara, didokumentasikan dan dipromosikan bagi menjamin kelangsungannya untuk generasi akan datang.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri berhasrat memperkasakan Kemabong menerusi pembangunan sektor pertanian, keusahawanan, pelancongan, infrastruktur dan ekonomi setempat.

Menurutnya, penganjuran acara berskala besar seperti Pesta Kalimaran turut membantu memperkenalkan Kemabong sebagai destinasi kebudayaan dan pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri di Sabah.

Beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan sokongan rakyat mampu memastikan Kemabong terus berkembang serta menikmati limpahan pembangunan.

Hajiji turut mengajak masyarakat menjadikan Pesta Kalimaran sebagai platform memperkukuh persaudaraan, perpaduan, keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Sabah.