Tahun 2022 Fasa Kritikal Bagi Pemulihan Industri Pelancongan – Jafry

Tahun 2022 Fasa Kritikal Bagi Pemulihan Industri Pelancongan – Jafry

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April depan bakal memberi impak positif kepada negeri Sabah khususnya sektor pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dalam satu kenyataannya hari ini berkata, industri pelancongan dalam pasca pandemik agak mencabar.

Untuk itu, pengusaha industri tempatan diminta bersedia kerana tempoh bagi tahun 2022 sehingga 2023 merupakan fasa yang kritikal bagi pemulihan industri pelancongan bukan saja di negara ini malah di peringkat global.

Menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) menjangkakan pelancongan dunia akan kembali seperti keadaan prapandemik pada atau selepas tahun 2024.

Jafry berkata, antara perkara-perkara yang perlu ditekankan sepanjang tempoh pemulihan ini termasuk, meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelancong luar terhadap negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat.

“Ianya dapat dicapai dengan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pembukaan Semula Sektor Pelancongan Antarabangsa dan diwar-warkan secara meluas menerusi platform digital agar memudahkan pelancong untuk mengakses segala maklumat yang berkaitan.

“COVID-19 mengubah landskap pelancongan di seluruh dunia, oleh itu pengusaha juga perlu bersedia untuk menukar model perniagaan atau struktur tadbir urus bagi memenuhi permintaan baharu sesuai dengan trend pelancongan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pemain-pemain industri juga disaran untuk terus mempergiatkan promosi serta lebih kreatif dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Sabah di mata dunia.

“Saya melihat usaha keras pengusaha tempatan mengubah suasana pelancongan negeri termasuk dengan memaksimumkan penggunaan platform digital untuk perkhidmatan dan produk mereka”…

“Saya yakin dan percaya dengan gabungan kerjasama semua pengusaha serta agensi- agensi berkaitan pastinya akan menyemarakkan lagi industri pelancongan Sabah,” tambahnya.