KOTA KINABALU: Kira-kira 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan pelaksanaan Fasa Kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA 2), sekali gus membuka peluang memperluas akses internet berkualiti kepada penduduk di kawasan yang masih berdepan keterbatasan capaian digital.
Perkembangan itu dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika menerima kunjungan hormat Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pelaksanaan JENDELA 2 yang merangkumi kira-kira 3,000 lokasi di seluruh negara, dengan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi antara fokus utama fasa berkenaan.
Pelaksanaan inisiatif itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk luar bandar dan pedalaman, khususnya kawasan yang masih berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan internet berkualiti akibat faktor geografi serta taburan penduduk.
Usaha memperluas infrastruktur komunikasi digital itu juga penting bagi merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar, selain membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk menikmati kemudahan pendidikan, ekonomi dan perkhidmatan digital.
Turut menyertai kunjungan itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib; ADUN Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohd Razi; Setiausaha Tetap KPSTI, Datuk Hassan Mahali serta Pengerusi Sabah Net, Datuk Azman Ruslan.






