KOTA MARUDU, SABAH – Kelindan sebuah lori traktor 10 tan meninggal dunia akibat terkena kabel elektrik semasa menurunkan tanah di Jalan Kampung Samparita, sini, semalam.
Mangsa maut kejadian kira-kira 11.30 pagi itu dikenali sebagai John Adam Baudi, 56.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata, susulan itu, kenderaan buatan Sinotruck terbabit terbakar 70 peratus dibahagian belakang.
“Pemandu lori terbabit juga terkena renjatan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Mangsa kedua disahkan meninggal dunia di lokasi dan telah disahkan oleh pihak polis,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Sekumpulan enam diketuai PBK II Dusin Sagaron melakukan operasi pemadaman menggunakan saut aliran salur bantu mula dan air dari jentera bomba.
“Operasi terkawal pada jam 12.35 tengah hari dan tamat lapan minit kemudian,” tambah sumber berkenaan.