KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) digesa memberikan keputusan atau penjelasan mengenai status permohonan dokumen pengenalan diri rakyat Sabah dalam tempoh 90 hari selepas proses semakan bagi mengelakkan pemohon terus berada dalam ketidakpastian.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan pulau, tidak terus berdepan kesukaran mendapatkan maklumat mengenai permohonan masing-masing.
Menurutnya, isu pendaftaran kelahiran, permohonan kad pengenalan dan penentuan taraf perlu ditangani berdasarkan bukti serta kelayakan pemohon.
“Jangan keluarga terus berulang-alik tanpa tahu kedudukan permohonan. Mohon Menteri nyatakan jadual pelaksanaan dan sasaran kes yang akan diputuskan mengikut daerah pada 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Madius turut mencadangkan JPN mempergiatkan operasi turun padang menerusi program MEKAR dengan jadual lawatan lebih tersusun, khususnya di kawasan yang sukar diakses.
Katanya, semakan dokumen perlu dilakukan lebih awal sebelum lawatan, selain menetapkan pegawai rujukan bagi setiap kes bagi melancarkan urusan permohonan.
Beliau menjelaskan, dalam tempoh 90 hari yang dicadangkan, pemohon perlu dimaklumkan sama ada keputusan permohonan telah dibuat, dokumen tambahan diperlukan, sebab kelewatan atau tarikh tindakan susulan.
Pada masa sama, Madius meminta kerajaan menetapkan sasaran penyelesaian kes mengikut daerah bagi 2027 supaya keberkesanan pelaksanaan dapat dipantau.
Beliau menegaskan, usaha menangani isu warga asing di Sabah tidak seharusnya menyebabkan kebajikan rakyat yang layak mendapatkan dokumen pengenalan diri terabai.






