Kerajaan Kurangkan Kuota Minyak Masak Paket, Jimat Subsidi Untuk Kawal Harga Minyak...

Kerajaan Kurangkan Kuota Minyak Masak Paket, Jimat Subsidi Untuk Kawal Harga Minyak Botol – Armizan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengurangkan kuota minyak masak paket bersubsidi daripada 60,000 kepada 55,000 tan metrik dan akan menggunakan penjimatan tersebut bagi membantu mengekalkan harga siling minyak masak botol lima kilogram pada RM30.90.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengurangan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan sasaran seterusnya menurunkan kuota kepada 50,000 tan metrik tanpa menarik balik subsidi kepada rakyat.

Menurutnya, langkah berkenaan turut mendapat persetujuan Jemaah Menteri bagi membolehkan penjimatan subsidi digunakan untuk melaksanakan mekanisme kawalan harga minyak masak botol susulan peningkatan harga minyak sawit mentah (CPO).

“Dan sekarang kita telah berjaya mengurangkan kuota tersebut kepada 55,000.

“Walaupun sebelum ini 10 tahun tidak dibuat, tetapi dalam tempoh dua tahun ini kita telah kurangkan kepada 55,000 dan kita sasarkan kita boleh kurangkan lagi kepada 50,000. Tetapi kita tidak menarik subsidi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Armizan berkata, penjimatan daripada pengurangan kuota itu penting bagi membantu kerajaan menangani tekanan peningkatan kos pengeluaran minyak masak botol yang kini dihadapi pihak industri.

“Kalau Oktober harganya RM4,400 tan yang sebenarnya harga untuk minyak kemasan botol lima kilogram itu boleh mencecah RM34. Tetapi dengan mekanisme kita laksanakan, kita dapat kekalkan harga siling kepada RM30.90,” katanya.

Menurutnya, peningkatan harga CPO turut menyebabkan sebuah syarikat pengilang menghentikan pengeluaran minyak masak botol berikutan tekanan kos yang semakin tinggi.

Dalam pada itu, Armizan mendedahkan perbelanjaan sebenar kerajaan bagi subsidi minyak masak paket pernah mencecah antara RM1.7 bilion hingga RM1.9 bilion dalam beberapa tahun kebelakangan ini, meskipun peruntukan belanjawan lebih rendah.

Katanya, program subsidi berkenaan turut berdepan masalah ketirisan dan penyeludupan yang memerlukan pemantauan lebih ketat sebelum pengurangan kuota dilaksanakan secara menyeluruh.

Sehubungan itu, KPDN memperkenalkan sistem eCOSS sejak Mei 2023, diikuti aplikasi Mobile eCOSS bagi memantau pengedaran dan pembelian minyak masak paket bersubsidi sehingga ke peringkat pengguna.

Armizan berkata, data yang diperoleh melalui sistem berkenaan penting bagi memastikan pengurangan kuota dan penyasaran subsidi dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan keperluan rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan meneruskan reformasi subsidi secara berperingkat dengan mengambil kira kepentingan pengguna serta peniaga kecil yang masih bergantung kepada bekalan minyak masak paket bersubsidi.