KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Malaysia dicabar membuat laporan polis terhadap tindakan Badan Peguam Malaysia mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, berkata tindakan badan guaman itu tidak wajar kerana keputusan berkenaan dibuat ketika Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Beliau berkata, Badan Peguam Malaysia melalui permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi mahu mencabar keputusan Lembaga Pengampunan itu, antaranya dengan berhujah bahawa tahanan di rumah tidak termasuk dalam takrif pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai penghormatan terhadap institusi diraja, khususnya kuasa dan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan.
Sehubungan itu, beliau menyokong keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkenaan.
Jerry berkata, pendirian AGC bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan Lembaga Pengampunan tidak boleh diadili mahkamah perlu diberi perhatian.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sikap berdiam diri Pemuda UMNO dan kepemimpinan UMNO terhadap tindakan Badan Peguam Malaysia itu, sedangkan sebelum ini mereka lantang membantah tindakan Peguam Negara berhubung isu penangguhan pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib.
“Kenapa ketika Peguam Negara menjadi sasaran bantahan, Pemuda UMNO dan UMNO begitu lantang sehingga membuat laporan polis, tetapi apabila Badan Peguam Malaysia mengambil tindakan mencabar keputusan Lembaga Pengampunan, mereka pula berdiam diri?
“Jika benar mereka memperjuangkan isu ini dan mahu mempertahankan institusi diraja, mengapa tidak mengambil pendirian tegas yang sama terhadap tindakan Badan Peguam Malaysia?” katanya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO sepatutnya lebih lantang mengecam tindakan badan guaman itu, malah mengambil langkah membuat laporan polis sebagai tanda bantahan terhadap perkara berkenaan.
Jerry menegaskan, UMNO tidak seharusnya memilih untuk bersuara berdasarkan pihak yang terbabit, sebaliknya perlu konsisten menyatakan pendirian apabila membabitkan isu penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, tindakan Badan Peguam Malaysia itu perlu diberi perhatian serius dan tidak wajar dibiarkan tanpa sebarang reaksi daripada pihak yang sebelum ini begitu lantang menyuarakan bantahan berhubung isu sama.






