KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal tanah air, Ernie Zakri, menerima pengiktirafan Celebrity Entrepreneur of the Year pada SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026 atas kecemerlangan seni, pencapaian kerjaya dan sumbangannya dalam mengangkat industri muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan itu diberikan berdasarkan pencapaian profesional, sumbangan artistik serta pengaruh beliau dalam industri hiburan, dan bukannya pemilikan perniagaan.
Memulakan kerjaya pada usia 17 tahun, Ernie mencipta nama selepas muncul juara termuda Bintang RTM pada 2009 sebelum meraih pelbagai pengiktirafan, termasuk anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu.
Kerjayanya terus berkembang selepas bernaung di bawah Universal Music Malaysia, dengan kejayaan lagu Masing Masing yang mencatat lebih 280 juta penstriman serta menerima Anugerah Platinum.
Populariti Ernie turut menembusi pasaran serantau, khususnya Indonesia, selain mendapat perhatian antarabangsa menerusi dua penampilan pada papan iklan digital di Times Square, New York.
Beliau juga terlibat dalam lagu tema Visit Malaysia 2026 sebagai usaha memperkenalkan muzik dan identiti budaya Malaysia kepada khalayak antarabangsa.
Anugerah berkenaan turut mengiktiraf konsistensi dan keupayaan Ernie mengekalkan relevansi dalam industri muzik, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi baharu artis tempatan.
SEBA ASEAN Awards yang dianjurkan Yayasan Usahawan Malaysia kini memasuki edisi ke-12 bagi meraikan individu serta personaliti berpengaruh atas pencapaian dan sumbangan dalam bidang masing-masing.






