TUARAN – Bagi Datuk Mohammad Ghazali bin Datuk Seri Panglima Hajiji, antara kejayaan paling bermakna bagi Sportink Grand Slam Badminton Championship 2026 ialah apabila minat terhadap badminton dapat merapatkan hubungan sesama warga Tuaran.
Ghazali, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Pengerusi Tuaran Youth Town Club (TYTC), berkata jumlah penyertaan dan keputusan di gelanggang hanya sebahagian daripada ukuran kejayaan sesebuah kejohanan.
“Sebaliknya, kejayaan yang lebih besar ialah apabila kejohanan ini berjaya mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat perpaduan dan mewujudkan suasana masyarakat yang aktif serta saling menyokong,” katanya ketika merasmikan kejohanan itu di sini.
Bagi pemain muda pula, katanya, peluang berdepan dengan lawan mengajar mereka mengatur strategi, mengekalkan fokus dan bangkit selepas tewas. Beliau berharap bakat yang menyerlah di gelanggang Sportink dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi sehingga suatu hari nanti ada anak Tuaran yang bergelar pemain badminton profesional.
Ghazali turut menyatakan hasrat untuk melihat Sportink Grand Slam diteruskan sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan penduduk. Beliau mengajak agensi kerajaan, sektor swasta dan persatuan belia bersama-sama masyarakat setempat untuk menyokong pembangunan sukan di daerah itu.






