
KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob secara rasmi mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), hari ini (8 Okt).
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan) memaklumkan keputusannya itu dalam sidang media yang diadakan di Dewan Teater, Marina, Sutera Harbour, di sini, pagi tadi.
Menurutnya, beliau meninggalkan parti itu dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mana akan menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor di peringkat Negeri dan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di peringkat Pusat.
Dr. Yusof turut berkata keputusannya untuk meninggalkan parti Warisan yang kini berada dalam blok Pembangkang adalah dibuat atas kehendak sendiri tanpa paksaan atau dorongan daripada mana-mana pihak.
“Tindakan saya ini adalah atas keputusan peribadi tanpa pengaruh dari siapa-siapa…
“Saya tiada masalah dengan WARISAN dan juga telah berbincang dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai perkara tersebut. Beliau tidak menghalang namun ramai pengikut cuba memujuk saya untuk kekal.
“Fokus saya adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat, khususnya di N.35 Sindumin dan negeri ini tanpa membuang masa kepada politik dan retorik yang tidak akan sampai ke mana-mana.
“Masa yang kita ada amat terhad menjelang PRU-15,” kata beliau.
Antara yang mengikut langkahnya keluar adalah Setiausaha (Bahagian) Ketua Wanita dan 15 orang Ahli Jawatankuasa.

Katanya, Sindumin ketika ini sedang berdepan pelbagai masalah dari segi bekalan air, banjir, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, dan isu pekerja Sabah Forest Industries (SFI) di mana jalan penyelesaian dikekang kepimpinan naungan bekas partinya itu.
“Akhirnya rakyat yang terhimpit. Demi mencapai penyelesaian, satu kerjasama perlu dibuat dengan kerajaan yang memerintah…WARISAN dilihat menghalang hubungan saya dengan pihak berkuasa yang berkaitan,” ujar beliau.
Yusof berkata pengundinya juga sudah maklum akan tindakan beliau dan secara tidak rasmi mengekalkan sokongon mereka dengan harapan sama iaitu pembangunan untuk Sindumin.
“Tindakan saya boleh dilihat perjuangan terakhir politik saya bagi penduduk Sindumn. Sudah lama kita (WARISAN) berjuang untuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Mungkin sekarang masanya…semua parti di Sabah boleh bersatu, biarlah saya memulakan dulu,” katanya lagi.
Turut hadir untuk memberi sokongan dalam sidang media di Sutera Harbour Marina pagi tadi Adalah ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih.

Dalam pada masa yang sama, Dr Yusof menjelaskan bahawa keputusannya itu adalah tepat dalam membela nasib rakyat dan dengan empat (4) tahun lagi tinggal dalam penggal GRS, begitu banyak yang boleh dimanfaatkan rakyat.
“Pembangkang yang lain pun harus membangunkan kawasan masing-masing. Namun apabila dipanggil untuk membangun bersama, tawaran itu bulat-bulat ditolak…
“Buang ego dalam politik. Buat apa disimpan? Rakyat yang menanggung kesusahan. Kita mahu Sabah membangun setanding dengan negeri lain,” jelas beliau.
Untuk rekod, Ketua Bahagian Warisan Sipitang ini antara pemimpin terawal yang berjuang sejak Warisan ditubuhkan dan pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran dan Inovasi semasa Warisan memerintah Sabah.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang lalu, Dr Yusof mempertahankan kerusi Sindumin melalui pertandingan 6 penjuru dengan jumlah majoriti 424 undi.
Sementara itu, Isnin mededahkan bahawa lebih ramai lagi yang menyuarakan perasaan ingin keluar dari parti WARISAN dalam masa yang terdekat ini.
Tanpa mengulas lebih lanjut, beliau berkata kebanyakkan daripada mereka masih taksub dengan pemimpin WARISAN yang memberi jaminan bahawa mereka masih mampu mewujudkan semula kerajaan.