Agama Bukan Penghalang Ziarah Ramadan

Agama Bukan Penghalang Ziarah Ramadan

0
SHARE
Limus
Kanak-kanak antara yang paling gembira menerima duit raya daripada Limus (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KUALA PENYU, SABAH – Berbeza agama bukanlah penghalang untuk saling ziarah terutama dalam bulan Ramadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury berkata amalan mulia tersebut dapat merapatkan silaturahim di samping membantu keperluan serta persiapan menjelang Aidilfitri.

“Sejak menjadi wakil rakyat, memang setiap tahun saya mengadakan Program Ziarah Ramadan untuk melawat pesakit yang terlantar di rumah dan juga memberi sedikit sumbangan untuk persiapan menyambut Aidilfitri kepada warga Kula Penyu dan Menumbok.

“Kita akan meneruskan program ini kerana inilah misi saya untuk menyatupadukan rakyat di kawasan saya walaupun berlainan agama kita tetap menghormati agama-agama lain dan berziarah dalam perayaan-perayaan lain termasuklah Hari Raya,” ujarnya.

Dalam program tersebut, Limus sempat berziarah dan menyantuni tiga pesakit terlantar iaitu pemandu kereta sewa Menumbok, Alim Shah Ahad, 50, dan pekerja offshore Zainal Senang, 57, di Kampung Sangkabok Menumbok serta Jalinah Bakti di Kampung Purun Kuala Penyu.

Selain itu, Limus yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya turut menyampaikan sumbangan bakul makanan serta duit raya kepada 3,630 Ketua Isi Rumah yang menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk golongan ibu tunggal, anak yatim, Orang Kurang Upaya, pesakit terlantar serta kanak-kanak.

Sementara itu dalam majlis berasingan, beliau turut menyantuni 93 warga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok dalam majlis iftar di Masjid Nurul Hayat dekat sini.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Kuala Penyu, Mohd Nazim Abd Rahman menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan Limus terhadap keperluan dan kebajikan umat Islam di daerah terbabit.

“Kita sangat terharu dengan program yang saban tahun diadakan oleh YB Datuk Limus terhadap keperluan dan kebajikan para pegawai agama, imam-imam, pengerusi masjid dan surau di Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok.

“Malam ini kita menerima sumbangan untuk 35 orang Kuala Penyu dan 58 orang Menumbok meliputi staf, kakitangan, imam bersama pengerusi masjid dan surau,” katanya.

Selain itu, Limus turut meluluskan serta merta dua permohonan iaitu pembinaan pantri di masjid berkenaan bernilai RM6,000 dan peruntukan majlis sambutan Aidilfitri berjumlah RM8,000.

Turut menerima sumbangan, wakil-wakil penerima asnaf daripada Kampung Binturu, Kampung Menumpang, Kampung Kabunau, Kampung Rimbaan, Kampung Sungai Labuan dan Melampai, di samping sumbangan tabung kepada pengerusi-pengerusi Masjid dan surau Zon Sitompok terdiri daripada Masjid Nurul Hayat Pekan Kuala Penyu, Surau Ekhwan Kampung Kepayan Pekan dan Surau Kampung Kemansian.

Limus juga menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar Mahad Tahfiz dan Tabung Surau Saad Abi Waqas Kampung Gerowot yang diwakili oleh Pengerusinya, Hakimi Chong Abdullah. — JABATAN PENERANGAN SABAH