KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menyifatkan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu 40 peratus hasil Sabah sebagai mengelirukan apabila menyatakan “tiada rayuan, tetapi akan merayu alasan penghakiman.” Menurutnya, tindakan tersebut tetap dianggap sebagai satu bentuk rayuan di sisi undang-undang.
“An appeal is an appeal. Tiada rayuan tetapi akan merayu alasan penghakiman tetap adalah satu rayuan,” tegas beliau dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Ewon yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjelaskan bahawa hak 40 peratus hasil Sabah tidak sama dengan dasar-dasar dalam Senarai Persekutuan (Federal List) kerana ia adalah hak undang-undang yang istimewa bagi negeri Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat Sabah memerlukan pembayaran semula hak ini untuk pembangunan infrastruktur, pembasmian kemiskinan dan pelbagai inisiatif ekonomi negeri,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang hampir tiga tahun dalam Kabinet Persekutuan, beliau sentiasa menyuarakan pendirian yang sama mengenai hak 40 peratus hasil Sabah, namun respons yang diterima kekal tidak berubah.
“Kenyataan AGC kali ini hanya mengesahkan sebab saya meletak jawatan atas dasar prinsip,” ujarnya.
Ewon berkata, beliau menjangka notis rayuan akan tetap difailkan di Mahkamah Rayuan berdasarkan alasan yang dinyatakan oleh AGC.
Katanya, asas alasan dan dapatan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu adalah saling berkait dan tidak boleh dipisahkan, sekali gus berisiko menjejaskan keputusan yang mengiktiraf hak 40 peratus Sabah jika mana-mana bahagian dibatalkan.
Beliau turut mengingatkan bahawa jika Mahkamah Rayuan membatalkan keseluruhan penghakiman Mahkamah Tinggi, keputusan yang mengiktiraf hak 40 peratus Sabah juga akan turut terbatal, sekali gus menjejaskan hak negeri dalam konteks perjanjian MA63.
“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO kelmarin menegaskan hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami denyutan nadi dan aspirasi rakyat berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya lagi.
Ewon pada masa sama menyeru rakyat Sabah supaya memberi mandat kepada parti-parti tempatan yang berprinsip untuk menerajui kerajaan negeri dan memperjuangkan agenda ‘Sabah First’ demi masa depan negeri yang lebih berdaulat dan berdaya maju.






