Ahli Perniagaan Mengaku Tidak Bersalah, Tipu Wang Bagi Janji Palsu Gelaran Dato’

Ahli Perniagaan Mengaku Tidak Bersalah, Tipu Wang Bagi Janji Palsu Gelaran Dato’

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas tiga pertuduhan menipu membabitkan wang berjumlah RM6,000 kononnya bagi membantu mendapatkan gelaran Dato’ daripada negeri Pahang.

Tertuduh, Ling How Ee, 40 yang merupakan pemilik syarikat NVWay Network Sdn Bhd bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdaya seorang individu supaya memindahkan wang ke akaun bank miliknya sebanyak RM2,500 pada 19 April 2023, RM500 pada 20 April 2023, dan RM3,000 pada 17 Mei 2023. Kesemua transaksi itu dilakukan di cawangan HSBC Bank di Kota Kinabalu.

Tertuduh didakwa menggunakan alasan pembelian emas aksesori untuk baju istiadat sebagai syarat mendapatkan darjah kebesaran bergelar Dato’, walaupun beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa atau kelayakan untuk berbuat demikian.

Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM3,000 dan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh juga diperintahkan untuk melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan, tidak mengganggu saksi, serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam daripada firma Ngui & Associates.

Mahkamah menetapkan 03 September 2025 sebagai tarikh pengurusan kes selanjutnya.