Air UMS: Enam Telaga Tiub Bantu Masalah Bekalan Air Siap Sepenuhnya –...

Air UMS: Enam Telaga Tiub Bantu Masalah Bekalan Air Siap Sepenuhnya – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Enam telaga tiub yang dibina di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan dana RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu kini siap sepenuhnya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata telaga tiub yang siap dibina itu akan menjadi alternatif sekiranya berlaku gangguan bekalan air dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Beliau berkata, kesemua telaga tiub yang sedia melalui pelaksanaan fasa satu dan dua kini dalam proses percubaan.

“Hari ini saya melawat UMS untuk melihat projek telaga tiub yang kita umumkan sebelum ini dan saya nak umumkan semua telaga tiub pakej satu dan dua sudah siap sepenuhnya walaupun ada sedikit kelewatan.

“Ketika ini, telaga tiub sedang dalam proses ujian bagi memastikan bekalan air seperti yang kita jangkakan. Tetapi saya ingin tegaskan di sini bahawa apa yang dilakukan hanyalah alternatif sekiranya bekalan JANS tidak berfungsi, maka telaga tiub ini akan digunakan.

“Kami telah memasang beberapa tangki di sekitar kediaman untuk menyimpan bekalan air. Jika sumber dari JANS kekurangan, kami akan meminta pelajar mengambil stok yang ada di sekitar asrama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak projek tasik tiub UMS di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, kesemua telaga tiub berkenaan dijangka mampu menampung sehingga satu juta liter air sehari (MLD).

“Malah saya berharap pelajar khususnya di UMS dan masyarakat di luar memahami isu yang kita hadapi di UMS.

“Dapatkan fakta yang betul supaya kita boleh bertindak secara rasional menangani isu air di kampus ini,” tegasnya.