Wanita Maut Dikelar Suami Sendiri, Kini Tinggalkan Anak Usia Enam Bulan

Wanita Maut Dikelar Suami Sendiri, Kini Tinggalkan Anak Usia Enam Bulan

0
SHARE

SHAH ALAM: Seorang wanita maut dipercayai dibunuh suami sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Klang, Selangor pada Jumaat lepas.

Mangsa, 28 tahun yang maut kini meninggalkan seorang cahaya mata yang baru berusia enam bulan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong dilaporkan berkata, mangsa warga tempatan itu ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan.

“Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.58 pagi, 7 Jun lalu daripada adik suspek yang melaporkan abangnya telah melakukan perbuatan membunuh.

“Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa mempunyai masalah rumah tangga sejak perkahwinan mereka dua tahun lalu,” katanya menerusi sebuah kenyataan media di sini, semalam.

Tambah beliau, bedah siasat terhadap mangsa mendapati terdapat 12 luka hiris dan luka kelar di beberapa bahagian anggota badan seperti telinga, pipi, dagu, leher, bahu, lengan, jari manis dan kelingking serta kepala. 

Katanya lagi, polis percaya punca kematian mangsa adalah disebabkan luka kelar pada bahagian leher yang memotong saluran pernafasan dan tulang leher.

Suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu diberkas pada hari sama serta direman tujuh hari, bermula semalam hingga 14 Jun nanti.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.