
SEPANG, SELANGOR – AirAsia Aviation Group telah mengumumkan pelantikan Tan Sri Tony Fernandes sebagai Penasihat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
Sebagai pengasas bersama AirAsia, yang diiktiraf sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia selama 14 tahun berturut-turut,Tony telah memperoleh kelulusan sebulat suara bagi pelantikannya daripada Lembaga Pengarah AirAsia Aviation Group.
Ini berdasarkan rekod prestasi keusahawanan luar biasa dan kepakaran dalam industri penerbangan.
Pengerusi AirAsia Aviation Group, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata kepimpinan, keupaayaan keusahawanan, pengetahuan dan hubungan industri global Tony tidak hanya akan memastikan kesinambungan malah membantu dalam fasa transformasi penting seterusnya.
“Ini amat penting kerana kami ingin menjadikan AirAsia sebagai penyedia penerbangan serantau utama yang menawarkan nilai terbaik bagi laluan jarak dekat, sederhana, dan jauh merentasi Asia.
“Dalam peranan baharunya, Tony tidak hanya akan memberikan pandangan strategik kepada kumpulan, termasuk perancangan pembangunan dan penggantian, malah akan menjadi saluran utama antara Capital A dan ekosistem perniagaan penerbangan, memastikan peluang bersama dimanfaatkan secara maksimum.
“Selain itu, Tony akan meneruskan dialog berterusan dengan pihak berkepentingan utama, termasuk dalam sektor pelancongan dan kerajaan, institusi kewangan, serta pembekal seperti Airbus dan GE.” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.