PENANG: AirAsia buat julung kalinya menganjurkan acara larian RedRun di Pulau Pinang dengan kerjasama Penang Global Tourism, menarik lebih 4,000 peserta dari Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam dan negara-negara lain. Acara yang berlangsung di Gurney Plaza ini menjadi destinasi terbaru selepas Bali, Surabaya dan Singapura.
AirAsia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa, larian ini menawarkan hadiah bernilai lebih RM60,000, termasuk wang tunai, tiket penerbangan, keahlian pusat kecergasan, serta baucar eksklusif daripada rakan kongsi seperti AirAsia MOVE, AirAsia Buds, AirAsia Rewards, AirAsia Ride, dan banyak lagi.
“Tiga kategori larian iaitu 3KM, 5KM dan 10KM, terbuka kepada pelbagai peringkat umur dan tahap kecergasan. Pulau Pinang mencatatkan penyertaan terbesar dengan 32 peratus pelari, diikuti Kedah dan Perak. Sebanyak 28 peratus peserta hadir dari luar negara, menunjukkan perkembangan acara ini di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.
Majlis pelepasan larian 10KM dirasmikan oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Wong Hon Wai, Exco bersama CEO Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam dan, Ketua Pegawai Komersial AirAsia Aviation Group, Amanda Woo.
Amanda Woo berkata, “Sambutan yang luar biasa ini mengesahkan komitmen AirAsia dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan menyatukan komuniti. AirAsia RedRun bukan sahaja acara sukan, tetapi satu platform untuk menghubungkan orang ramai dan destinasi.”
Wong Hon Wai pula mengucapkan tahniah kepada AirAsia, berharap RedRun akan menjadi acara tahunan yang menyokong gaya hidup sihat serta memperkukuhkan sektor pelancongan di Pulau Pinang.