KOTA KINABALU: Pengerusi POIC Sabah, Datuk SeriYong Teck Lee, menegaskan peranan strategik Sabah dalam kerjasama serantau semasa Persidangan Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Henan (CHIITF) ke-15 di Zhengzhou, China.
Beliau mencadangkan pembukaan laluan penerbangan terus Zhengzhou–Kota Kinabalu bagi memperkukuh hubungan perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pertukaran rakyat.
Yong, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, berkata kedudukan Sabah di utara Borneo menjadikannya hab penting Asia Tenggara serta rakan strategik utama dalam hubungan China-Malaysia.
Beliau turut menekankan kejayaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam memacu pertumbuhan serantau, dengan perdagangan Sabah–China melonjak daripada RM700 juta pada 1992 kepada RM10.7 bilion pada 2023.
Yong turut menjemput pelabur Henan ke Sabah China Expo yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada November ini bagi memperkukuh kerjasama dua hala.






