KENINGAU, SABAH – Seorang kanak-kanak lelaki tukuh tahun menyaksikan ayahnya, 58, ditetak menggunakan pisau oleh seorang warga asing yang merupakan jiran mereka, berusia 40 tahun, di Taman Juta di sini pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Polis (DSP) Alizam Dalaman berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.57 malam.
Menurutnya, mangsa ditetak menggunakan pisau di tangan kanan menyebabkan pendarahan teruk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelasnya, sebelum kejadian, mangsa dan anaknya membantu isteri suspek untuk membuat laporan di Balai Polis Keningau selepas bertengkar dengan suaminya.
“Isteri suspek kemudian dihubungi anaknya berusia 25 tahun bahawa bapanya sedang marah di hadapan rumah. Mangsa dan anaknya menaiki kereta untuk pulang manakala isteri suspek pulang berjalan kaki untuk meredakan kemarahan suaminya.
“Ketika dalam perjalanan pulang, mangsa terserempak dengan suspek dan berlaku pergelutan dan tangan mangsa ditetak menyebabkan pendarahan teruk. Isteri mangsa bersama anggota MPV tiba di tempat kejadian dan melihat suaminya berlumuran darah.
“Ambulans kemudian datang dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Ketika itu, suspek telah melarikan diri selepas kejadian itu dan kini polis sedang mengesan suspek untuk ditahan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke hospital Queen Elizabeth 1 Kota Kinabalu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Akta 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, polis meminta kerjasama orang ramai mengesan suspek, Abdul Razak, 40.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat suspek ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azrul Efizul Mohd Asri di talian 012-9293148,” tambahnya.