KOTA KINABALU, SABAH – Perpustakaan Islam Sabah (Baitul Hikmah) yang terletak berhampiran Wisma MUIS dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada bulan Mei 2022.
Demikian jawapan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Haji Ruslan Muharam (Lumadan) pada Sidang DUN hari ini.
Arifin berkata perpustakaan Islam tersebut merupakan komitmen pihak Kerajaan bagi memastikan rakyat di negeri ini mempunyai alternatif rujukan dalam pelbagai disiplin ilmu berkaitan agama, kebudayaan dan tamadun Islam.
“Pengisian utama perpustakaan ini ialah akan menjadi tempat rujukan bagi bidang-bidang teras dan disiplin ilmu Islam.
“Buku-buku rujukannya adalah dari kitab-kitab yang muktabar dan terkenal dalam bidang keilmuan Islam.
“Perpustakaan ini tidak terhad kepada penyediaan bahan bacaan kepada umat Islam tetapi sebagai pusat pembudayaan minat terhadap ilmu dan lambang kekuatan intelek masyarakat Islam negeri ini,” katanya.
Tambahnya, perpustakaan tersbut akan diurus secara sistematik dengan pembangunan koleksi, pengkatalogan dan sirkulasi.
“Selain itu ia akan menyediakan prasarana digital dan kemudahan capaian internet bagi mengakses kitab-kitab rujukan, jurnal, tesis, disertasi dan lain-lain.
“Perpustakaan ini juga akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah perpustakaan awam dan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negeri bagi menambah koleksi ilmu dan rujukannya.
“Perpustakaan ini juga akan diletakkan pengurusannya secara bersama di antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah,” ujarnya.