Bajet 2022 Inklusif, Tetapi Tidak Cukup Baik Untuk Borneo

Bajet 2022 Inklusif, Tetapi Tidak Cukup Baik Untuk Borneo

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan...

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kecewa Bajet 2022 tidak menyebut peruntukan khas kewangan untuk Sabah.

Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata hak Sabah untuk 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh persekutuan di negeri itu terus dinafikan.

“Juga tiada peruntukan untuk pembayaran lain seperti cukai 10 peratus ke atas minyak atau 10 peratus duti import ke atas produk petroleum selain daripada peruntukan RM 120 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata walaupun peruntukan untuk dana pembangunan untuk Sabah telah ditambah, kenaikan itu tidak mencukupi dan tidak adil.

“Ia sepatutnya sekurang-kurangnya RM10 bilion memandangkan adanya keperluan untuk merangsang ekonomi Borneo untuk menandingi perbelanjaan agresif Indonesia di Kalimantan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bajet itu adalah inklusif dan menyeluruh, mengambil kira kebajikan rakyat, selaras dengan visi ‘Keluarga Malaysia’.

Kitingan berkata beliau sedar bahawa matlamat utama bajet adalah untuk merangsang ekonomi, yang telah lumpuh akibat pandemik COVID-19, serta untuk merangsang aktiviti perniagaan.

“Secara keseluruhannya, ia adalah bajet yang baik kerana ia memberi tumpuan kepada kawasan kurang membangun khususnya di Sabah dan Sarawak…

“Tetapi ia sepatutnya lebih baik,” katanya.