KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki ditemui di kawasan Taman Awam Teluk Likas di sini pada pagi Sabtu dan mencetuskan siasatan polis berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bayi itu kira-kira jam 6.30 pagi hasil panggilan telefon daripada orang awam.
“Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui. Ketika dijumpai, bayi tersebut masih bernyawa, berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pihak ambulans telah segera dipanggil ke lokasi dan bayi tersebut dibawa ke Hospital Likas bagi mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut.
Kasim berkata, pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati tiada saksi mata yang melihat kejadian itu dan kawasan berkenaan tidak mempunyai kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan individu yang bertanggungjawab sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kejadian itu telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tindakan susulan berkaitan kebajikan bayi berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, SM Rosmah Pg Hasim di talian 011-31677612.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi semua pihak yang terlibat.






