MEMBAKUT, SABAH – Bekalan vaksin yang mencukupi bagi fasa ketiga di negeri Sabah akan bermula pada bulan hadapan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, penjadualan itu adalah berdasarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum berlaku kesulitan berhubung penangguhan pemberian vaksin kepada golongan sasar yang lain memandangkan jumlah bekalan vaksin untuk dos pertama kepada mereka agak terhad.
“Pada Rabu ini, bekalan vaksin mingguan akan tiba lagi maka pemberian vaksinasi boleh diteruskan…
“Setakat ini, pemberian vaksin ditumpukan kepada melengkapkan pemberian vaksin dos kedua dan bagi yang meneruskan dos pertama, hanya untuk golongan fasa kedua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kesenian Islam Membakut, Kimanis, kelmarin.
Shahelmey yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah berkata, proses pemberian vaksin di PPV sedia ada masih boleh diteruskan dengan menumpukan golongan fasa kedua.