Bekas Penghidap Kanser, ADUN Kapayan Mahukan Akses Rawatan Kepada Seluruh Masyarakat

Bekas Penghidap Kanser, ADUN Kapayan Mahukan Akses Rawatan Kepada Seluruh Masyarakat

0
SHARE

PENAMPANG: Pada setiap tahun, 4 Februari menandakan Hari Kanser Sedunia, satu usaha global meningkatkan kesedaran serta menggalakkan tindakan dalam memerangi kanser.

Tahun 2025 membawa tema “United by Unique”, yang menekankan pengalaman unik pesakit serta keperluan penjagaan kesihatan berpusatkan rakyat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 2.4 juta kes baharu dan 1.5 juta kematian akibat kanser di Asia Tenggara pada 2022, termasuk 56,000 dalam kalangan kanak-kanak.

Jumlah ini dijangka meningkat 85 peratus menjelang 2050, menunjukkan keperluan mendesak untuk strategi pencegahan dan rawatan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kapayan, Jannie Lasimbang, berkongsi pengalamannya sebagai bekas pesakit kanser payudara, yang menjalani kimoterapi, radioterapi, dan pembedahan pada 2021 ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Saya bertuah kerana mendapat sokongan fizikal dan mental yang kuat daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Sokongan mental serta rawatan awal sangat penting untuk mengurangkan bilangan kes dan kematian akibat kanser,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa program pencegahan kanser masih belum dilaksanakan sepenuhnya, menyebabkan banyak kes dapat dielakkan tetapi terus meningkat.

Manakala, diagnosis lewat pula sering membawa kepada rawatan yang lebih mahal dan kurang berkesan.

Sebagai usaha meningkatkan kesedaran, Jannie aktif menjalankan program bersama NGO, Wanita DAP, dan komuniti, termasuk saringan kanser payudara serta ujian HPV PCR untuk kanser pangkal rahim di Sabah.

Beliau menyeru agar kerajaan, penyedia kesihatan, dan masyarakat bekerjasama memastikan semua orang mendapat akses kepada rawatan tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

“Mari bersama-sama menghentikan peningkatan kes kanser melalui kesedaran dan tindakan awal,” tambahnya.