KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak RM5.701 bilion dicadangkan bagi melancarkan pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2024.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata Belanjawan Sabah 2024 yang dibentangkan hari ini disediakan dengan berpandukan unjuran hasil agar dapat mengekalkan Belanjawan Lebihan dan seterusnya dapat meningkatkan rizab negeri.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.751 bilion diperuntukkan untuk membiayai Perbelanjaan Mengurus dan RM950 juta untuk Pencaruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
“Peruntukan bagi Anggaran Perbekalan meningkat sebanyak RM563.37 juta atau
10.96 peratus pada tahun 2024 berbanding anggaran asal tahun 2023 iaitu sebanyak
RM5.138 bilion yang bertujuan untuk menampung Perbelanjaan Emolumen,
Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.
“Sebanyak RM808.06 juta dicadangkan untuk Perbelanjaan Emolumen bagi membiayai gaji Penjawat Awam Negeri.
“Jumlah ini mencatatkan kenaikan sebanyak
RM15.78 juta atau 2 peratus berbanding peruntukan tahun lalu disebabkan kenaikan
gaji tahunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Masidi turut berkata Perbelanjaan Berulang dicadangkan sebanyak RM2.203 bilion ataupun 38.64 peratus iaitu kenaikan sebanyak RM176.32 juta atau 8.7 peratus berbanding peruntukan asal tahun 2023.
Selain itu katanya, Agihan Perbelanjaan Khas dicadangkan sebanyak RM1.74 bilion atau 30.52 peratus, mencatatkan kenaikan sebanyak RM161.26 juta atau 10.62 peratus lebih tinggi daripada peruntukan asal tahun 2023.
“Kenaikan ini menunjukkan komitmen
Kerajaan negeri menangani isu keterjaminan makanan melalui penubuhan semula
Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah, isu-isu infrastruktur serta kemudahan awam,” katanya.
Disamping itu, Masidi berkata pihaknya turut mencadangkan sebanyak RM1.328 bilion
diperuntukkan pada tahun 2024 untuk Perbelanjaan Pembangunan.
“Jumlah ini merangkumi sebanyak RM847.23 juta melalui peruntukan negeri dan RM480.46 juta melalui Pinjaman Persekutuan dan Bayaran Balik Persekutuan,” katanya.
Disamping itu, Masidi memperincikan agihan peruntukan pembangunan bagi sektor ekonomi sebanyak RM555.60 juta (65.58 peratus, sektor sosial sebanyak RM272.99 juta (32.22 peratus) dan sektor pentadbiran am sebanyak RM18.64 juta (2.2 peratus).





