BERSATU SABAH TENTUKAN HALUAN SENDIRI DALAM PRU-15

BERSATU SABAH TENTUKAN HALUAN SENDIRI DALAM PRU-15

0
SHARE
Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk tengah) bersama Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (kanan) semasa sidang media petang tadi selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah di Magellan Sutera Harbour...

KOTA KINABALU, SABAH – Keutuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memimpin Kerajaan di negeri ini menjadi jaminan tidak akan berlakunya sebarang pertembungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan UMNO seperti mana yang berlaku di peringkat Persekutuan ketika ini.

BERSATU Sabah yang kini dalam GRS akan menentukan haluan sendiri bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan rakan pimpinan GRS bahawa mereka akan berbincang bagi menetapkan satu pendirian dan haluan yang jelas untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kami sudah berbincang dan Hajiji turut mendengar apa yang kita bincangkan. Kita percaya GRS sudah mewujudkan tanggapan yang baik sepanjang setahun GRS ditubuhkan dan pelbagai inisiatif dilaksanakan.

“Ini yang kita bincang supaya lebih jelas apakah Sabah akan berbeza dengan Semenanjung, saya pun tidak tahu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Sabah petang tadi di Magellan Sutera Harbour.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut memberi mandat kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS untuk berbincang bersama rakan-rakan dalam GRS bagi menentukan pembahagian kerusi di Sabah.

“Saya mengiktiraf di Sabah unik serta ada sedikit kelainan dengan Semenanjung Malaysia. Fakta itu kita ambil kira supaya ada keputusan yang baik untuk semua,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata pada peringkat Persekutuan, BERSATU bersedia bertembung dengan UMNO sekiranya UMNO kekal tidak mahu meneruskan kerjasama pada PRU-15.

“Kita dalam BERSATU sudah ada pendirian, kalau UMNO tidak mengubah keputusan itu maknanya, itulah keputusan yang mereka ambil. Maka, kalau kita terpaksa bertembung dan tiada cara untuk mengelakkannya jadi, kita akan menghadapinya…

“Itu realiti politik dan kita ada strategi dan cara kita. Saya fikir kita punya banyak pengalaman. Kita juga membuat pelbagai kajian dan penyelidikan mengenai respon rakyat kerana apa yang penting adalah kemahuan rakyat.

“Rakyat pasti akan menilai dari pakej rangsangan lebih RM530 billion yang telah diberikan serta usaha menangani wabak COVID-19,” tambah beliau lagi.