KOTA KINABALU, SABAH – Kawan lama nampaknya akan menjadi lawan baharu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal berlangsung tahun hadapan.
Namun pertelingkahan di peringkat Pusat (Persekutuan) antara bekas sekutu politik, Barisan Nasional (BN), berbeza bagi Sabah yang mana kerjasama erat antara dua parti itu dikekalkan melalui Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika ditafsirkan kenyataan rakan sejawatnya dari BN, Datuk Seri Zahid Hamidi, ianya jelas bahawa kedua parti itu akan bertembung pada PRU kelak.
“Kita sudah bersedia. Kalau tidak ada cara lain bagi berkerjasama, kita akan menghadapinya. Kita ada strategi dan pengalaman…
“Bukan parti politik yang dilihat tetapi individu, yang mana rakyat yakin boleh memberi apa sahaja bentuk sokongan dan bantuan dalam zaman COVID-19 ini,” katanya.
Muhyiddin berkata rakyat pasti akan menilai dari pakej rangsangan lebih RM 530 billion yang telah diberikan serta usaha menangani wabak yang masih digunapakai semasa beliau masih mengetuai pejabat.
“Program Bantuan Prihatin sewajarnya diteruskan kerana ramai penduduk Malaysia yang terkesan dan jatuh misikin selepas pandemik. Rakyat yang akan menentukan kemahuan dan kita akan tawarkan,” jelasnya.
Beliau turut memuji kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sambil berkata Kerajaan GRS telah membentuk suasana baik (good vibes) di kalangan rakyat Sabah dan memenuhi tugasnya sepanjang masa setahun memerintah.
“Sokongan terhadap Hajiji yang semakin hari semakin meningkat membolehkan Sabah terus maju jaya…
“Kekuatan parti Bersatu terletak di Sabah dengan 108,000 ahli yang mana masih ramai belum didaftarkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan pimpinan Bersatu Sabah di Magellan Sutera Harbour di sini, petang tadi.
Muhyiddin berkata antara strategi yang sedang mereka melihat bagi memastikan Sabah kekal di bawah GRS dan Perikatan Nasional adalah sokongan daripada undi pemuda (Undi 18).
Beliau berkata memenuhi aspirasi mereka dengan program yang dapat menarik perhatian untuk terus menyokong Perikatan Nasional adalah penting.
“Tapi yang terpenting adalah mempunyai satu hala tuju yang jelas bagi memupuk kerjasama antara parti-parti politik di Sabah…
“Mungkin kita akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU akan datang…apa-apa pun kita serahkan kepada rakyat untuk menilai apa yang terbaik berlandaskan sistem demokrasi,” katanya.