KOTA KINABALU, SABAH – Lebih banyak pertemuan dan perbincangan akan diadakan dengan persatuan dan badan profesional tempatan untuk berkongsi perkembangan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pertemuan sedemikian sangat penting untuk memastikan golongan ini me dapat makluman terkini mengenai perkembangan kerja-kerja yang sedang dan telah dilakukan, terutama yang berkaitan dengan pemulihan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63.
“MKMA63 dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, di mana tiga jawatankuasa kerja dibentuk bagi meneliti isu-isu berkaitan Sabah dan Sarawak iaitu isu kehadiran pendatang tanpa izin, rakan sekutu dan sosio-ekonomi…
“Kesemua perkara ini melibatkan banyak perubahan polisi, peraturan dan perundangan, termasuklah perubahan dalan enakmen negeri. BHESS telah berjaya mencapai kejayaan dalam dua permasalahan utama, dan kami berharap dapat menyelesaikan lebih banyak perkara lagi dalam masa terdekat,” kata Ongkili.
Beliau berkata demikian setelah menerima kunjungan hormat daripada The Registered Trustees of Sabah (SABAR), yang diketuai oleh pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Dr Johan Arriffin Abdul Samad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Datuk Henry Chok, di pejabat Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di Wisma SEDIA, di sini, hari ini.

Kejayaan tersebut adalah pengembalian kuasa dan kawalan penuh terhadap pentadbiran Pulau Ligitan dan Sipadan kepada Kerajaan Sabah dan menyerahkan kawalan dan pengurusan pengedaran Gas Petroleum Cecair kepada Kerajaan Sarawak.
Menyentuh mengenai SABAR, beliau menambah bahawa persatuan tersebut mempunyai rangka kerja yang sesuai bagi memahami hak-hak Borneo.
Dalam pertemuan tersebut, Ongkili mengambil kesempatan untuk berkongsi mengenai kemajuan MKMA63 bersama wakil-wakil dari SABAR.





