BELURAN, SABAH – Seorang calon SPM yang terperangkap di rumah akibat air banjir sempat masuk ke dewan peperiksaan dengan bantuan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Beluran hari ini.
Difahamkan jalan ke rumah mangsa Ann Christy Primus, 18, di Kampung Dorom-Dorom Rancangan Cocos dinaiki air yang menjadi penghalang untuk menduduki peperiksaan SPM di SMK Pamol.
Pasukan bomba segera ke lokasi sebaik menerima panggilan pada pukul 7.56 pagi.
Jarak Balai Bomba dan Penyelmat Beluran ke rumah mangsa kira-kira 90 kilometer.
“Pasukan bomba menggunakan pacuan empat roda Toyota Vigo ke lokasi kejadian.
“Mangsa berjaya dihantar ke sekolah dan operasi ditamatkan pada jam 9.36 pagi,” kata seorang jurucakap bagi Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.