KOTA KINABALU, SABAH -Festival fesyen raya terbesar di Sabah, Borneo Mega Raya Fest 2024, kembali untuk edisi kedua, dengan skala lebih besar berbanding edisi sulung pada tahun lalu.
Bakal berlangsung selama 10 hari bermula 29 Mac, 2024 hingga 7 April, 2024 ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Borneo Mega Raya Fest 2024 dianjurkan oleh Jeeharris Corporation, sebuah syarikat penganjur acara yang berpangkalan di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jeeharris Corporation, Harris Baba berkata pihaknya berbangga Borneo Mega Raya Fest 2024 kembali selepas kejayaan melangsungkan festival fesyen terbesar itu buat julung kalinya tahun lepas.
“Kami tidak sabar untuk menghidangkan rakyat Sabah, termasuk wilayah berdekatan seperti Labuan, Sarawak dan Brunei Darussalam dengan Festival Fesyen Raya terbesar.
“Festival ini disasar menjadi penanda aras dalam penganjuran pesta fesyen di Borneo yang ditunggu-tunggu setiap tahun.
“Susulan kejayaan festival ini pada tahun 2023 yang berjaya menarik kira-kira 5,000 pengunjung sehari untuk tempoh 14 hari festival berlangsung, edisi kedua pastinya jauh lebih mengujakan untuk pengunjung.
“Pengunjung bukan saja dapat membeli-belah keperluan raya terutamanya baju raya daripada jenama fesyen terkenal di Malaysia, bahkan juga bertemu ramai selebriti dan pempengaruh terkenal sambil menikmati persembahan muzik.
“Untuk edisi 2024, festival ini akan menampilkan lebih 80 jenama eksklusif serta menghimpunkan kira-kira 19 selebriti dan pempengaruh ternama negara.
“Antara acara yang pastinya akan menaikkan adrenalin pengunjung, adalah ‘Happy Hour Sale’, Meet & Greet bersama Selebriti, pertunjukan fesyen, persembahan artis dan band serta pelbagai hadiah tiket bertuah untuk pengunjung bertuah,” katanya.
Antara barisan selebriti dan pempengaruh yang bakal memeriahkan Borneo Mega Raya Fest 2024 adalah MK K-Clique, Khairy Jamaluddin, Datuk Aliff Syukri, Adira Suhaimi, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Bella Astillah dan ramai lagi.
Buat pertama kalinya, Borneo Mega Raya Fest menampilkan jenama besar untuk kepuasan membeli-belah pengunjung, Antaranya, Rizman Ruzaini, FiziWoo dan Fustaan.
Lebih 100 gerai, yang menawarkan kelengkapan raya seperti baju, kosmetik, makanan dan banyak lagi, akan dibuka sempena Borneo Mega Raya Fest 2024 dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Borneo Mega Raya Fest 2024 bakal berlangsung bermula 29 Mac sehingga 7 April ini.
Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi di talian 012 999 9255 (Harris), 019 697 0040 (Shah), 012 999 9225 (Jiha) atau menerusi emel di jeeharis.corporation@gmail.com.