
KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Pakatan Harapan Sabah Datuk Christina Liew mendedahkan beliau antara 15 ketua cabang PKR Sabah yang mendesak Pengerusi (MPN) PKR Sabah Datuk Sangkar Rasam mengundur diri melalui akuan bersumpah (SD) Mac lalu.
Dengan itu beliau menyatakan sokongan terhadap Datuk Mustapha Sakmud dengan berkata ia kerana jawatan Mustapha sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi selain mempunyai sokongan majoriti ketua cabang.
Apabila ditanya jika beliau menyimpan hasrat bertanding jawatan itu, Christina berkata tidak sama sekali kerana sudah lebih 20 tahun bersama parti.
“Ada orang keluar masuk parti tapi saya kekal dengan PKR,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Sabah 2024 di SICC pada Ahad.
Beliau berkata Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan solusi pada kedatangannya Sabtu ini.
“Kita akan mendengar nasihat daripada Anwar…Siapa pun yang menjadi pengerusi, PKR tidak akan patah,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan untuk terus menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor bersama Anwar dalam membentuk negara yang lebih bertoleransi dan saling hormat-menghormati.