KOTA KINABALU, SABAH – Prosedur operasi standard (SOP) ‘mesra’ ekonomi golongan B40 lebih sesuai dilaksanakan di Sabah berbanding SOP ‘total lockdown’ bagi memastikan ekonomi negeri terus pulih dan pandemik COVID-19 dapat dikekang.
Lega dengan keputusan kerajaan tidak melaksanakan ‘total lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, golongan peniaga kecil dan pekerja B40 di negeri ini berpendapat SOP secara bersasar amat diperlukan bagi memberi ruang kepada mereka memulihkan hidup yang terkesan oleh penularan pandemik itu.
Peniaga buah-buahan Mulinggiati Dalipang, 43, berkata PKP 1.0 lepas memberi kesan besar terhadap perniagaannya kerana stok buah-buahannya rosak akibat penutupan gerai yang lama susulan keputusan kerajaan menutup sebahagian besar sektor ekonomi.
“Bukan kami tidak takut COVID-19 tetapi kami peniaga dan orang biasa B40 ini lebih takut lihat anak atau ahli keluarga sendiri tidak makan, kerana golongan kami ini kalau tidak berniaga atau kerja tidak dapat duit, bukan macam orang biasa gaji bulan-bulan,” katanya kepada Bernama di sini, petang kelmarin.
Dia yang berniaga di Pasar Borong Jalan Pintas, Penampang berkata sekalipun operasi perniagaan di Sabah dihadkan dari 6 pagi hingga 9 malam pada masa ini, langkah itu masih berupaya memberi ruang kepada peniaga kecil sepertinya ‘bernafas’.
Seorang lagi peniaga di pasar borong sama, Waode Laho, 58, berkata peniaga kecil sepertinya amat bergantung pada kehadiran pelanggan, justeru pelaksanaan PKP penuh akan menjejaskan kedatangan pembeli ke pasar itu.
“Saya faham kita kena kurangkan pergerakan (bagi cegah COVID-19) tetapi saya mohon diberi kelonggaran SOP bagi memudahkan orang datang membeli ke pasar borong ini yang rata-ratanya adalah peniaga kecil,” katanya.
Dia turut mencadangkan agar kerajaan atau badan bukan kerajaan membantu memasarkan barangan peniaga kecil sepertinya menerusi pasaran dalam talian, jika kerajaan sukar melonggarkan SOP semasa.
Zulhelmy Mulkaseh, 34, seorang penebar roti canai dan pekerja am di sebuah restoran di Kepayan di sini pula, berkata jika restoran tempatnya bekerja ditutup kerana arahan ‘total lockdown’, dia yang bergaji harian RM50 akan menghadapi kesukaran menyara keluarganya.
“Bila buat lebih masa sikit dapat juga hampir RM100 sehari tetapi bila restoran tutup tidak dapat apa-apa, terpaksa buat apa-apa sahaja kerja termasuk jadi ‘runner’, kalau tidak macam mana mahu beri makan anak isteri,” katanya.