KOTA KINABALU, SABAH – Adalah tidak logik untuk pihak berkuasa membakar rumah walaupun ketika menjalankan operasi kata Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Kasim Muda.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan negeri juga bukan zalim sehingga sanggup bertindak sedemikian.
Beliau mempertikaikan dakwaan seorang lelaki dalam video tular bahawa kerajaan melalui polis telah sengaja membakar rumah setinggan di Kg Bangka-Bangka, Kalansanan di Inanam tengah hari tadi.
Setakat pukul enam petang semalam, Kasim berkata 26 buah rumah kayu terbabit telah musnah terbakar.
Jelasnya, pihak polis bersama agensi lain sedang menjalankan operasi berkala anti-jenayah, pendatang tanpa izin, dan narkotik pada jarak kira-kira 50 meter dari rumah pertama yang mila terbakar.
“Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas berpunca daripada salah sebuah rumah yang juga membekalkan kepada ramai jirannya.
“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba dalam masa enam minit sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.53 tengah hari.
“Api merebak dengan cepat akibat tiupan angin kencang dan kerana rumah kayu tebabit dibina rapat antara satu dengan yang lain.
“Dakwaan lelaki itu dalam video tular terbabit adalah tidak benar sama sekali. Kami di sini bukan untuk membakar rumah tetapi untuk membanteras jenayah.
“Polis dan kerajaan tidak akan sesekali membakar rumah dengan sengaja walaupun ia milik pendatang tanpa izin atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Kasim berkata, mangsa yang mana berjumlah lebih dari seratus orang telah memilih untuk bermalam di rumah saudara mara atau surau berhampiran.
“Kami sedang menunggu laporan penuh pihak bomba dan akan meneruskan siasatan.
“Tidak dinafikan kemungkinan kebakaran berpunca daripada kegiatan mencuri elektrik,” tegasnya.
Terdahulu, sepasukan 26 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dan Kota Kinabalu berkata mereka menghadapi kesukaran untuk mencapai lokasi kejadian kerana ‘terlalu banyak sambungan elektrik haram’.






