
KOTA KINABALU, SABAH – Empat lelaki warga asing termasuk kanak-kanak berusia 10 tahun dalang dalam kes samun di sekitar bandar raya ini, berjaya ditahan pada Sabtu dan Ahad lalu.
Keempat-empat suspek berusia 10, 24, 24 dan 28 tahun ditahan dalam serbuan di Jalan Segama dan Jalan Tugu Kampung Air oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dengan penahanan keempat-empat suspek itu, pihaknya berjaya menyelesaikan beberapa kes samun di kawasan tumpuan pelancong di bandar raya ini.
“Pada 30 Disember 2023, polis dimaklumkan mengenai kejadian samun seorang warga China oleh dua lelaki di Jalan Gaya, di sini hingga menyebabkan mangsa kehilangan wang tunai dan beberapa barang berharga.
“Susulan itu, pegawai dan anggota D9 JSJ Kontinjen Sabah menjalankan siasatan dan berjaya menahan dua lelaki di tepi bangunan, Jalan Labuk, Segama, di sini, pada 13 Januari lalu.
“Hasil tangkapan dua suspek terbabit, polis merampas beberapa barang disyaki hasil kegiatan samun. Turut dirampas dua bilah pisau, pemutar skru dan tukul yang digunakan oleh suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tidak terhenti di situ, Jauteh berkata, hasil risikan dan pemantauan berterusan oleh pasukan polis, akhirnya menahan dua lagi lelaki termasuk kanak-kanak berusia 10 tahun disyaki terbabit kes samun di sekitar bandar raya ini.
“Kedua-dua suspek beralamat di Pulau Gaya, di sini ditahan dalam serbuan di Jalan Tugu Kampung Air, jam 5.20 petang semalam.
“Semua suspek yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan masyarakat susulan kejadian-kejadian samun khususnya di kawasan tumpuan pelancong, Jauteh berkata, bagi memastikan rasa selamat dalam kalangan orang awam termasuk pelancong terhadap jenayah, pihaknya akan terus menjalankan operasi cegah jenayah dan siasatan hingga menangkap penjenayah terbabit.
“Operasi bersepadu secara berterusan dijalankan membabitkan pegawai dan anggota dari pelbagai unit di kawasan ‘hotspot’ khususnya di kawasan tumpuan pelancong di sekitar bandar raya ini.
“Ini termasuk melakukan pendekatan ‘Walkabout Bersepadu’ yang bertujuan mendekati masyarakat sekali gus menunjukkan kehadiran polis bagi mencegah jenayah,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, operasi sebegini akan diteruskan dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba melakukan jenayah, tindakan tegas akan dikenakan.