KENINGAU: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di sungai di Taman Bersatu, di sini, ditemui tidak bernyawa pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), manakala cucunya yang berusia 10 tahun masih belum dikesan.
Mangsa, Fredoline Yariki, 60, ditemukan oleh orang awam dari Team Gallen Star pada jam 5.21 petang, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PPgB Desmon Al Mickey berkata, operasi SAR hari kedua bermula seawal jam 6.10 pagi melibatkan sembilan anggota bomba bersama agensi lain termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam.
“Operasi dijalankan menggunakan kaedah ‘surface searching’ di sepanjang Sungai Banjar dan Sungai Mempikit. Mangsa pertama berjaya ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kedua, iaitu cucu kepada mangsa pertama, Muhammad Aidan Ridwan, 10, masih belum ditemui setakat ini dan operasi pencarian akan diteruskan.
Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai ke sungai bagi mencuba bot baharu yang dibeli sebelum kejadian. Bagaimanapun, usaha pencarian oleh keluarga hanya menemukan beg serta barangan peribadi mangsa di lokasi terakhir mereka dilihat.
Operasi SAR yang menggunakan jentera FRT dan EMRS itu ditangguhkan pada jam 6.37 petang dan akan disambung semula esok dengan peluasan kawasan pencarian.
“Operasi akan diteruskan sehingga mangsa kedua ditemui, dengan pemantauan berterusan dilakukan di kawasan terlibat,” katanya.
Perkembangan operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.






