KOTA KINABALU: Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin (SPnCA) menarik perhatian delegasi antarabangsa yang menyertai program pasca persidangan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO RT2025), apabila mereka berpeluang melihat sendiri usaha pemuliharaan hidupan liar dan pemulihan habitat hutan yang dijalankan di Sabah.
SPnCA diuruskan oleh SKG Green Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu, sebagai sebahagian inisiatif syarikat dalam memperkukuhkan komitmen terhadap biodiversiti dan pembangunan minyak sawit secara mampan.
Seramai 30 peserta dari Malaysia, Netherlands, Indonesia, China, United Kingdom, India, Perancis dan Sepanyol menyertai program tersebut yang turut melibatkan aktiviti pelayaran menyusuri Sungai Pin serta sesi taklimat mengenai pelaksanaan inisiatif kemampanan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green, Philipa Datuk Wilfred Mojilis berkata, program ini memberi peluang kepada industri antarabangsa untuk melihat sendiri bagaimana pemeliharaan alam semula jadi boleh bergerak seiring dengan pengurusan minyak sawit yang bertanggungjawab.
“Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin mencerminkan usaha kami mengimbangi pembangunan kelapa sawit dengan pemeliharaan warisan semula jadi Sabah. Melalui kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah, WWF-Malaysia, komuniti setempat dan pelbagai rakan usaha lain, kami terus melaksanakan pemulihan hutan, pemantauan hidupan liar serta pendidikan pemuliharaan,” katanya.
Ketika aktiviti pelayaran berlangsung, delegasi turut berpeluang menyaksikan beberapa spesies hidupan liar termasuk seekor orang utan liar, satu penemuan signifikan dan jarang selain monyet belanda (proboscis monkey), lotong serta sepasang burung enggang yang sedang membina sarang.
Program diakhiri dengan sesi pembentangan inisiatif kemampanan SKG Green yang menonjolkan kolaborasi berterusan syarikat bersama agensi pemuliharaan serta usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian dalam sektor minyak sawit.
Menurut Mojilis, program pasca persidangan RSPO RT2025 ini membuktikan bahawa model pengurusan minyak sawit mampan Malaysia mempunyai keupayaan untuk diperkukuhkan melalui pendekatan berasaskan ilmu, inovasi dan kolaborasi.
“SPnCA menjadi contoh jelas bagaimana pemuliharaan alam dan industri kelapa sawit boleh bergerak seiring secara praktikal dan berkesan,” tambahnya.






