AI dan Demokrasi: Sabah Hadapi Cabaran dan Peluang Menjelang PRN17

AI dan Demokrasi: Sabah Hadapi Cabaran dan Peluang Menjelang PRN17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah berdepan gelombang perubahan digital yang besar menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu menjadi sama ada pemangkin perpaduan atau punca perpecahan masyarakat, bergantung kepada cara ia digunakan oleh pihak berkepentingan.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Azizan H. Morshidi, dalam artikelnya bertajuk “From Deepfakes to Democracy: Sabah’s Digital Dawn for Unity and Prosperity” menegaskan bahawa kemajuan AI membawa kesan berganda.

“Daripada mengancam pekerjaan tradisional, meningkatkan jurang digital, hingga berpotensi menggugat integriti pilihan raya melalui penyebaran maklumat palsu dan deepfake.

“Sabah masih banyak bergantung pada proses manual dan interaksi bersemuka, manakala capaian internet luar bandar yang terhad membantutkan peralihan digital.

“Dalam masa sama, kemunculan video palsu yang menggambarkan projek infrastruktur tidak berfungsi dilihat mampu membangkitkan kemarahan rakyat serta menjejaskan kepercayaan menjelang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, algoritma media sosial berisiko mewujudkan ‘echo chamber’ yang menguatkan dakwaan sensasi dan menenggelamkan perbincangan berfakta, terutama dalam kalangan pengundi muda.

Azizan mencadangkan pendekatan berpusatkan manusia bagi memanfaatkan AI, termasuk pembangunan kemahiran digital di sekolah, kolej komuniti dan pusat keagamaan bagi meningkatkan keupayaan mengenal pasti maklumat palsu.

Selain itu, atihan AI mudah alih kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) luar bandar untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing serta pemantauan masa nyata oleh pusat penyelidikan tempatan untuk mengesan kandungan mencurigakan dan melindungi integriti pilihan raya.

Beliau turut menyarankan parti politik menandatangani ikrar awam menolak penggunaan maklumat palsu berasaskan AI dan mendedahkan penggunaan alat automasi dalam kempen.

Dalam masa sama, penganjuran hackathon komuniti boleh menggalakkan kerjasama antara kaum dan melahirkan aplikasi AI tempatan yang menyokong pelancongan, pertanian, dan pemetaan warisan.

Azizan menekankan peranan pengundi muda sebagai penentu masa depan digital dan demokrasi negeri. Golongan ini perlu dibimbing menjadi “juara digital” yang menuntut ketelusan dan kemajuan saksama, bukan sekadar pengguna pasif maklumat dalam talian.

“Sabah memiliki keunikan budaya, kepelbagaian bahasa dan semangat komuniti yang boleh dijadikan model bagaimana AI dimanfaatkan untuk perpaduan dan kemakmuran bersama,” tegas Azizan.

Katanya, menjelang PRN17, rakyat Sabah bukan sahaja memilih parti dan dasar pembangunan, tetapi juga menentukan hala tuju negeri dalam menghadapi cabaran automasi, maklumat palsu dan keinklusan digital abad ke-21.