Persatuan Pengguna Sabah Sambut Baik Peruntukan RM19.4 Juta Untuk KKIA, Lapangan Terbang...

Persatuan Pengguna Sabah Sambut Baik Peruntukan RM19.4 Juta Untuk KKIA, Lapangan Terbang Tawau

0
SHARE
David Chan
Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan ( Sumber Foto: Ihsan Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Peruntukan RM19.4 juta bagi membaik pulih dua lapangan terbang di Sabah mampu melonjakkan lagi ekonomi dan pelancongan di negeri ini.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan berkata, pihaknya menyambut baik peruntukan tersebut berdasarkan kepada keperluan semasa dan jangka masa panjang.

Menurut beliau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kini merupakan antara lapangan terbang tersibuk dan semestinya memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Kita mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan Persekutuan melalui Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di atas peruntukan ini dan diharapkan dapat menyelesaikan beberapa masalah yang timbul.

“Kita mahu KKIA bukan sahaja selamat tetapi juga selesa kepada semua pengunjung yang tiba dan untuk jangka panjang KKIA perlu terus ditambah baik berdasarkan kepada keperluan semasa,” katanya.

Beliau mengulas laporan media mengenai peruntukan RM8.4 juta untuk menambah baik KKIA dan RM11 juta untuk Lapangan Terbang Tawau selepas kunjungan Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah ke atas MAHB baru-baru ini.

David melahirkan keyakinan bahawa usaha menambah baik infrastruktur lapangan terbang di Sabah mampu meningkatkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

Katanya, tidak sekadar itu kerajaan juga perlu melihat keperluan prasarana lain khususnya dalam menyelesaikan isu kesesakan jalan raya di Kota Kinabalu serta infrastruktur jalan raya yang menghubungkan pusat-pusat pelancongan dan tumpuan ramai.