Gerakan Koperasi Boleh Jadi Platform Belia Berkeusahawanan

Gerakan Koperasi Boleh Jadi Platform Belia Berkeusahawanan

0
SHARE
Ewon
Ewon sekitar Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (APCYS) 4.0, di Hotel Promenade ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, gerakan koperasi merupakan salah satu platform terbaik golongan belia mengukuhkan kerjasama sesama belia dalam bidang keusahawanan dan koperasi.

Sehubungan itu katanya, bagi meningkatkan lagi penglibatan belia dalam gerakan koperasi di negara ini penglibatan dan kerjasama semua pihak amat penting.

“Ini kerana setakat Disember 2022, daripada lebih 15,000 koperasi berdaftar di Malaysia, hanya 207 koperasi belia dengan keahlian seramai 99,954 orang dan perolehan RM26.60 juta.

“Berdasarkan statistik itu, masih banyak ruang boleh diperkasa dan dilipatgandakan bagi meningkatkan penglibatan belia dalam koperasi dan ini memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya antara kerajaan dan kalangan belia itu sendiri serta penglibatan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik (APCYS) 4.0, di Hotel Promenade, di sini, malam tadi.

Pada tahun ini buat julung kalinya Sabah dipilih menjadi tuan rumah bagi persidangan selama tiga hari itu melibatkan 186 peserta daripada 19 buah negara.

Selain Malaysia, negara-negara lain yang menyertai persidangan itu ialah Australia, Kemboja, India, China, Indonesia, Iran, Jepun, Kyrgyzstan, Nepal, Filipina, Korea Selatan, Singapura, Sri Lanka, Taiwan dan Vietnam.

Ewon berharap, sepanjang tiga hari persidangan itu, para peserta yang terdiri daripada koperasi belia dapat membina kerjasama dan sinergi sesama koperasi, bukan sahaja dalam aspek kepimpinan tetapi kerjasama strategik berkaitan keushawanan melalui gerakan koperasi.

“Saya juga berharap melalui pemilihan Sabah sebagai tuan rumah, sedikit sebanyak dapat meningkatkan minat golongan belia terutamanya Sabah dan Malaysia amnya untuk turut sama melibatkan diri dalam gerakan koperasi bagi menjana pendapatan negara,” katanya.

Mengenai peluncuran kerangka Ekonomi Madani yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahin pada hari ini, Ewon percaya ia boleh membawa Malaysia ke arah 60 tahun seterusnya yang lebih progresif.

“Dalam peluncuran kerangka ekonomi Malaysia Madani, Perdana Menteri telah menyentuh peranan besar golongan belia di negara kita terutamanya dalam aktiviti ekonomi dan keusahawanan.

“Pada pandangan saya gerakan koperasi merupakan salah satu platform terbaik kepada golongan belia membina kerjasama sesama belia dalam keusahawanan dan koperasi,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pengarah Serantau International Cooperative Alliance Asia Pacific (ICA-AP) Balasubramanian Iyer.