Dua Individu Ditahan Cuba Seludup Barangan Indonesia

Dua Individu Ditahan Cuba Seludup Barangan Indonesia

0
SHARE
Anggota pasukan Maritim Malaysia Tawau menunjukkan barang sitaan...(Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia)

TAWAU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo tempatan bersama muatan pelbagai barangan yang disyaki diseludup dari negara jiran di perairan Batu Tiga sini sekitar jam 4.15 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot kargo tersebut dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari sempadan perairan negara menuju ke arah muara Sungai Tawau.

“Mereka telah ditahan untuk pemeriksaan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Ops Cegah Pati Selatan di perairan Tawau…

“Pemeriksaan mendapati bot kargo tersebut dikendalikan tekong warga tempatan berusia 32 tahun bersama seorang penumpang wanita tempatan berusia 35 tahun.

“Penggeledahan ke atas bot kargo tersebut telah menemukan pelbagai barangan yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Antaranya 1,171 helai kain batik buatan Indonesia, 500 helai kain pelikat Gajah Duduk, 1,445 helai pakaian wanita, 2,125 ketul gula merah, 2688 botol losyen badan jenama Bengkoang serta 24 tong gas LPG kosong,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Kesemua jenis barangan serta jenama itu dipercayai berasal dari negara Indonesia manakala tekong juga telah gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit yang sah berkaitan muatan yang dibawa.

Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia…

Kedua-dua suspek ditahan bersama bot dan muatan seterusnya diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk sisatan lanjut.

“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM141,000,” tambah Siva.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.