TAWAU, SABAH – Perutusan bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilihat banyak memberikan manfaat kepada rakyat.
Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Tawau, Datuk Hamisa Samat berkata pihaknya menyambut baik keprihatinan kerajaan membantu rakyat terutamanya golongan yang terjejas.
“Buat pertama kalinya kita melihat semua menteri dalam kabinet berkorban untuk tidak mengambil gaji mereka selama tiga bulan sebagai usaha membantu kerajaan membiayai perbelanjaan terkait COVID-19…
“Semua gaji mereka dimasukan ke dalam akaun amanah bencana dan ini merupakan keikhlasan semua menteri menjaga kebajikan rakyat,” katanya
Dalam pada itu katanya, rakyat perlu berkerjasama dalam membendung penularan wabak COVID-19 supaya ianya tidak berlarutan terlalu lama.
“Masyarakat harus berdisiplin dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) selama PKP 3.0 dilaksanakan selama 14 hari ini…
“Sekiranya masyarakat tidak memberikan kerjasama yang padu, sudah pasti kita akan menghadapi PKP ini dalam tempoh yang lebih lama,” katanya.
Menurutnya, banyak kenaikan kes sebelum ini berpunca daripada aktiviti ziarah Aidilfitri dan majlis sosial sehingga mewujudkan varian baharu yang lebih berbahaya.
“PKP dilaksanakan supaya menyedarkan masyarakat tentang pentingnya terus menjaga SOP walaupun keadaan semakin pulih…
“Sekiranya tiada langkah yang drastik dilakukan, sudah pasti kes jangkitan terus meningkat dan sukar dibendung lagi,” katanya
Sementara itu, Hamisa menggesa semua masyarakat agar tidak menolak pengambilan vaksin supaya usaha melandaikan wabak COVID-19 dapat berjalan dengan lancar.
“Pengambilan vaksin dapat menambahkan antibodi diri agar ianya tidak menjadi lebih teruk sekiranya dijangkiti wabak COVID-19,” katanya
Hamisa berkata, masyarakat juga perlu sedar bertapa besarnya pengorbanan petugas barisan hadapan yang terpaksa bergadai nyawa demi menyelamatkan orang lain.
“Mereka sudah semakin letih kerana setiap hari terpaksa bekerja disebabkan pesakit COVID-19 semakin bertambah sehingga Hospital dan pusat kuarantin hampir penuh…
“Marilah kita bersama-sama memberikan sokongan dan kerjasama kepada seluruh pasukan barisan hadapan dengan mematuhi semua SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan,” katanya.