KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkukuh pemantauan terhadap Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri dengan menubuhkan dua jawatankuasa baru di bawah Kementerian Kewangan Negeri.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Jawatankuasa Penasihat dan Pemantauan Badan Berkanun & Syarikat Milik Negeri (JPP-KKNS) serta Jawatankuasa Pinjaman dan Pelaburan Agensi Negeri (SALIC) ditubuhkan bagi menilai prestasi, ketelusan dan disiplin kewangan badan-badan ini.
Kedua-dua jawatankuasa akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan untuk memastikan keberkesanan mesyuarat.
“JPP-KKNS memantau perbelanjaan Badan Berkanun dan GLC yang kurang memuaskan serta mencadangkan langkah pembetulan, manakala SALIC menilai permohonan pinjaman dan pelaburan baharu bagi memastikan keberkesanan serta pulangan optimum kepada Kerajaan Negeri,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Sabah 2026, semalam.
Mulai 2026, semua Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar Badan Berkanun dan GLC diwajibkan menyerahkan laporan prestasi suku tahunan terus kepada Ketua Menteri.
Masidi berkata, langkah ini penting untuk memantau pelaksanaan projek, prestasi kewangan, perkhidmatan dan indikator prestasi utama setiap agensi.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri setakat ini telah menerima dividen dan sumbangan berjumlah RM125.37 juta daripada pelbagai agensi, dan angka ini dijangka meningkat menjelang akhir tahun.
“Kami mengucapkan tahniah kepada agensi-agensi yang mencatat keuntungan dan membayar dividen, termasuk SMJ Energy, Sabah Credit Corporation, Sabah Energy Corporation, Innoprise, Sawit Kinabalu, Sabah Economic Development Corporation, Sabah Air Aviation dan beberapa lagi,” katanya.
Kerajaan Negeri juga menghargai sumbangan agensi seperti Lembaga Tabung Sabah Parks, Tanjung Aru Eco Development, Sabah Fisheries and Fishermen Development Corporation, Sabah Forestry Development Authority dan lain-lain.






